Monday, December 31, 2012

SELAMAT TAHUN BARU 2013

Selamat menyambut tahun baru 2013.

Saya daripada hajat saya di tahun baru ini adalah untuk menulis satu cerita setiap kali. Dah lama hajat saya nak menulis dipendamkan. Mulai tahun 2013 saya mesti menulis.

Alhamdulillah, syukur kepada Allah, bila bangun pagi tadi terasa ada kekuatan untuk keluar berjalan kaki di sekeliling taman perumahan. Hampir sejam juga berjalan. Rasanya kali terakhir saya berjalan adalah 5 bulan dulu (sebelum bulan puasa), patutpun dah rasa kurang 'fit'. Insyallah azam di tahun baru ini saya ingin berjalan atau berlari anak di waktu pagi sekurang kurangnya 4 kali seminggu. Saya berhajat untuk lebih sihat di tahun baru ini. Biasanya jika lama tak bersenam saya akan merasa pening-pening di waktu pagi dan ada masanya terbawa hingga ke tengahari. Bagi saya memang tidak memadai jika berpeluh secara tidak sengaja, maksud saya berpeluh ketika menaiki tangga pejabat, berjalan kaki dari parkir ke kantin dsb adalah tidak memadai, saya perlukan senaman secara 'paksaan' seperti berjalan kaki di waktu pagi, bersenam di gimnasium dsb.

Semasa berjalan pagi tadi terjumpa dengan seorang Pak Aji, dulu saya selalu nampak dia berjalan di waktu pagi. Dia nampak begitu sihat walaupun umurnya sudah 73 tahun. Dia menasihati saya agar berjalan dengan lebih laju sedikit dan setiap langkah katanya hendaklah sebaiknya diikuti dengan zikir di dalam hati (seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allah Akbar). Pak Aji mendapat tip tersebut dari seorang lagi tuan haji beberapa tahun lepas yang lebih tua 10 tahun darinya  tapi nampak macam lebih sepuluh tahun lebih muda.  Tuan Haji tersebut memberitahu Pak Aji bahawa zikir tu tidak semestinya di atas tikar sejadah sahaja tetapi boleh dilakukan bila-bila masa seperti semasa memandu (nampaknya kena slow volume radio atau tutup aja radio), berjalan, bekerja dsb.

Pak Aji juga sempat bercerita mengenai pengalamannya berjumpa seorang kaya beberapa tahun lepas. Pak Aji dijemput oleh jirannya seorang kontraktor pendawaian ke sebuah rumah di bandar lain sebagai teman dan penunjuk jalan. Sampai di rumah tersebut, kelihatan tuan rumah duduk di atas kerusi, Pak Aji memberi salam tetapi tiada jawapan.  Pak Aji cuba menarik perhatian tuan rumah dengan memuji keindahan rumah banglo tersebut dengan lanskap yang menarik namun masih tiada respon dari tuan rumah. Akhirnya Pak Aji memandang muka tuan rumah dan terpancul soalan bertanyakan adalah tuan rumah tidak sihat. Barulah tuan rumah mula bercakap dan mengakui dia tidak berapa sihat. Dia pula bertanya berapa umur Pak Aji. Tuan rumah terkejut setelah Pak Aji memberitahu umurnya melebihi 70 tahun kerana dia mengandaikan Pak Aji lebih muda. Dia juga menanyakan rahsia Pak Aji kelihatan lebih muda. Jawapan Pak Aji adalah sentiasa berzikir di mana sahaja kita berada. Tuan rumah yang awalnya kelihatan seperti ego telah bertukar menjadi seorang yang cuba mengorek lagi pengalaman Pak Aji. Begitulah ringkasan cerita yang mengandungi unsur keagamaan termasuk kesihatan, komunikasi dsb.

Semasa berjalan pulang ke rumah setelah selesai bercakap dengan Pak Aji, saya berkenalan pula dengan pengawal keselamatan baru di kawasan perumahan saya (namanya Saiful). Nanti saya akan cuba korek pula cerita dia seperti pengalaman menarik semasa bertugas sebagai pengawal keselamatan. Dalam masa bulan Jan dan Feb'13 ini rumah buku saya akan berpindah ke kedai buku, saya dah bertanyakan Saiful untuk membantu saya mengumpul kawan-kawannya untuk mengangkat almari besi yang berat tu.

935am 1/1/13

No comments: