Tuesday, November 4, 2008

POKOK KOKKA TIDAK WUJUD



Oleh Hamid Salleh
sumber: bhnews@bharian.com.my 4/Nov/08


ABDUL MANAN menunjukkan buku tulisannya mengenai bahtera Nabi Nuh.

KUALA TERENGGANU: Ramai rakyat negara ini terpedaya dengan dakwaan kononnya kayu kokka dari timur tengah yang digunakan untuk membina bahtera Nabi Nuh boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dan sanggup membelanjakan ribuan ringgit bagi mendapatkan kayu berkenaan.

Justeru ada yang sanggup membeli cincin dan tasbih daripada kayu kokka yang dijual pada harga antara RM100 dan RM10,000.

Seorang ahli etnologi tempatan, Dr Abdul Manan Embong, berkata kajian beliau di Mesir, Jordan, Turki dan Iran mendapati tidak pernah wujud nama pokok kokka dan apa yang didakwa sebagai kayu kokka sebenarnya diperoleh daripada spesies pokok palma.

Beliau berkata, kajian dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama pakar Geomologi dan Mineral Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Hisham Hashim; pakar botani Mesir, Prof Dr Mohammad Shakran Shuhatah; Pegawai Bahagian Kajian Penyelidikan Geologi Turki, Prof Ali Akbar Zurillah dan penceramah bebas, Ahmad Shukri Ghazali Siraj.

"Kami tidak dapat mengesan spesies tumbuhan pokok dikenali kokka dan jika ada nama panggilan di Jepun kokua, iaitu sejenis pokok berbatang kecil dan menjalar yang digunakan untuk upacara keagamaan," katanya.

Abdul Manan berkata, kayu kokka diambil daripada spesies pokok palma Attalea Funifea kerana buah dan tempurung pokok digunakan untuk membuat tasbih, gelang, cincin dan barang permainan.

Katanya, kajian mendapati pokok itu banyak di Brazil, Columbia dan Argentina yang ditanam secara komersial dengan ladang seluas antara 20 dan 2,000 hektar.

Beliau berkata, kayu kokka yang dibawa masuk ke negara ini dan kemudian dijadikan tasbih, gelang, cincin, minyak dan tongkat umpama biji kepala sawit atau biji tamar yang dijadikan perhiasan.

"Tiada bukti dapat mengesahkan pokok yang didakwa kayu kokka itu ada keistimewaan dan khasiat tertentu.

"Bagi mengaitkannya sebagai bahan digunakan dalam membuat bahtera Nabi Nuh seperti diuar-uarkan sememangnya jauh tersimpang kerana pokok ini tidak sesuai dibuat kapal kerana tidak mampu bertahan dalam air," katanya

Abdul Manan berkata, pokok sebenar yang dipercayai digunakan bagi membina bahtera Nabi Nuh adalah kayu daripada pokok Pine Cypress yang diperoleh di pergunungan Ararat, Turki.

Katanya, penemuan itu berdasarkan kajian terhadap fosil bungkah kayu lama berusia kira-kira 3,500 tahun milik seorang Arab Kurdis.

"Saya ingin membuat pendedahan ini kerana tidak mahu masyarakat Islam negara ini tertipu dengan kayu kokka yang dikatakan mempunyai khasiat," katanya.

No comments: